KISAH SEDIH SEORANG GURU DENGAN ANAK MURID ISTIMEWA TERJADI SEBELUM CUTI HARI RAYA LALU
Hari ini, jatuh air mata aku. Sebelum itu, aku perkenalkan diri, aku seorang cikgu muda di sebuah sekolah di negeri Melaka. Baru saja dipostingkan dan tahun ini juga adalah tahun yang bermakna dan sedih bagi aku.
Kenapa? Kerana dalam kelas aku ada seorang murid lelaki yang istimewa. Seorang anak syurga yang dijaga dan ditatang penuh kasih sayang oleh seorang nenek yang agak berusia dan uzur.
Biarlah aku gelarkan murid ini sebagai Azam. Dia murid tahun 3 yang baik. Mendengar kata dan menjaga tingkah laku dalam kelas. Dia jugalah murid yang aku paling sayang sebab dia paling manja dengan aku. Sampaikan dia panggil aku ayah.
Aku sendiri pun sudah menganggapnya seperti anak atau adik sendiri. Dulu, sewaktu mula-mula bertugas di sekolah ini dan ditugaskan mengajar di kelas itu, aku sudah perasan yang Azam ini pada mulanya agak pendiam dan selalu tidak bergaul dengan budak-budak yang lain.
Sebab apa pun, aku tidak begitu pasti. Kalau di waktu rehat, dia tidak pergi rehat. Hanya makan nasi yang dibekalkan oleh neneknya. Bila waktu balik sekolah, aku selalu nampak dia jalan kaki dengan neneknya sebab rumah mereka tidak beberapa jauh dari sekolah.
Terfikir juga aku, mana mak dan ayah dia? Kenapa nenek yang selalu menjemputnya balik? Tetapi pada waktu itu aku tidak kisah sangat sehinggalah satu kejadian berlaku ketika aku nak masuk mengajar di kelasnya.
Si Azam tunduk menangis dan buku berselerak di atas mejanya.
"Cikgu, saya anak haram ke?" Tersentap gila aku!
"Kenapa Azam kata macam tu?"
"Kawan-kawan saya ejek saya. Mereka kata saya tak ada mak dan ayah. Mak dan ayah tak sayangkan saya. Saya anak pungut. Saya ini jahat ke? SAya anak haram ke cikgu?" soalnya.
Sumpah air mata aku jatuh. Aku peluk dia dan berkata, "Tak, awak anak syurga Azam, Mak dan ayah awak ada, nanti mereka balik," Seharian itu aku tak mengajar kelas dia.
Aku hanya membebel dan memberi nasihat serta denda murid-murid yang mengejek Azam. Sebelum keluar kelas, aku dah beri warning siap-siap. Siapa yang mengejek Azam lagi, saya akan laporkan kepada Guru Besar.
Rupanya kata guru kelas, Azam, anak luar nikah. Ibu dan ayahnya melarikan diri sebab malu dengan keluarga dan orang kampung. Lalu dia dibela oleh neneknya.
"Dulu Azam selalu diejek dan dihina orang. Bila ada majlis bersama ibu bapa, neneknya akan datang. Ibu bapa yang ada di situ memandang semacam saja padanya.
Kasihan dia," kata guru kelas Azam. Aku speechless, Allah begitu hebat dugaan untuk anak sekecil dia. Sejak dari itu, aku berazam untuk mendidik Azam dengan bersungguh-sungguh.
Ada masa, aku belanja dia di waktu rehat. Ada masa aku bermain dengan dia. Alhamdulillah hari demi hari, akhirnya aku rapat dengan dia. Sampaikan ada masa dia terpanggil aku ayah. Aku gembira melihat dia senyum gembira. Tetapi aku silap, aku pernah kata padanya, "Mak dan ayah awak ada. Nanti mereka balik."
Tahu tak hari ini Azam buat apa? Hari ini last aku mengajar sebelum cuti raya. Tetapi aku tak ada semangat nak mengajar, semangat raya lebih berkobar dalam diri ini.
Waktu dalam kelas, aku suruh budak-budak melukis suasana kampung waktu hari raya. Kemudian, aku suruh mereka submit lukisan itu nanti. Selepas waktu rehat tadi, aku tengok balik lukisan-lukisan murid-murid aku. Semuanya kelakar.
Helaian demi helaian aku belek. Sampailah mata aku tertarik dengan satu lukisan ini. Gambar orang lidi, ada empat orang lidi. 3 dewasa dan 1 kecil.
Di atas orang lidi itu tertulis 'mak', 'ayah' sambil memegang tangan si lidi kecil, 'Azam' dan yang terakhir itu aku. Aku pandang lama-lama gambar itu. Air mata aku jatuh berderai.
Hati kecil aku berdoa semoga 'Anak syurga ini bahagia suatu hari nanti'. Sebelum balik itu, Azam datang ke bilik guru berjumpa dengan aku. Dia ajak aku beraya di rumahnya.
Dan sebelum beredar, dia minta aku poskan lukisan dia tadi kepada mak dan ayahnya. Katanya tahun ini nak beraya dengan mak dan ayah. Wajahnya sangat innocent.
Allahu. "InshaAllah Azam," kataku memeluknya erat. Aku rasa bersalah sangat sebab kata-kata aku dulu seolah-olah memberi harapan yang sangat besar pada dia.
Aku tak nak dia kecewa kalau tahun ini dia masih beraya tanpa mak dan ayah. Aku buntu bagaimana nak beritahu hal yang sebenar pada Azam. - Diari Seorang Cikgu | PIXEL MEDIA
0 Response to "KISAH SEDIH SEORANG GURU DENGAN ANAK MURID ISTIMEWA TERJADI SEBELUM CUTI HARI RAYA LALU"
Post a Comment